Studio ERA dah tukar nama?

Betulke?

Yaaaaaa..itulah kelainan yang dibawa dalam slot PAGI ERA. Kami telah menjemput tukang urut profesional bagi memeriahkan lagi studio ERA. Kesemua mereka didatangkan khas dari PUSAT KESIHATAN KURSANI, SUBANG JAYA.

Dengan kehadiran mereka ni memang meriah sangat studio kami masa tu. Sepanjang slot kami tu, Paknil dan Din Beramboi bagai dimanja, maklumlah masa bekerja ada orang urutkan badan kami berdua. Memang hilang sengal badan hahaha.


Kalu nak tahu, PUSAT KESIHATAN KURSANI ni adalah sebuah pusat kesihatan yang menyediakan khidmat urut dan spa khas untuk kaum lelaki. Sekarang ni bukan kaum perempuan jer ada pusat kesihatan khas untuk mereka. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai KURSANI sila lawati www.kursani.com.


Ok berbalik pada kejadian urut hari tu. Tiba2 Studio kami dipenuhi staff kat sini pulak, ada yang beratur untuk mendapatkan khidmat percuma mereka. Tapi jangan marah..mereka ni didatangkan khas untuk kami berdua saje.

Terima Kasih buat semua yang telah menonton kami melalui telegon bimbit 3G anda semua, yang menyaksikan gelagat kami berdua kena urut. Kepada yang belum berkesempatan anda semua boleh mendail *37755 dan tukarkan panggilan kepada mode VIDEO CALL, pastu tekan 1, anda dapat menyaksikan gelagat Paknil dan Din Beramboi juga pemnyampai-penyampai lain.

Jika anda semua ada idea, sila bagi komen kat Paknil bagi idea, apa aksi kreatif yang anda semua ingin saksikan melalui telefon 3G.


Salam, pada 18 Mac yang bertempat di Menara Kuala Lumpur telah berlangsung Majlis Pelancaran Zoom Malaysia dengan kerjasama AMP Networks dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah YB Dato' Seri Azalina Othman, Menteri Pelancongan Malaysia.

 Datuk Seri Azalina Othman Said (third from left) sharing a light moment with  general manager (corporate strategy and industry development) of AMP Radio Networks  Kudsia Kahar (second from left), Sinar FM deejay Raja Azura (left)  and Era FM deejay, Aznil Nawawi (right) at Menara Kuala Lumpur  yesterday.

Majlis tersebut adalah sempena dengan pelancaran kempen Zoom Malaysia! di saluran radio pelbagai bahasa di bawah saluran AMP NETWORKS. Antara saluran radio yang terlibat Era, My FM, Mix FM, Sinar dan THR Raaga.

Kempen ini adalah bagi menyemarakkan lagi pelancongan dalam negara. Menerusi 'jingle' Zoom Mlaysia yang dimainkan di radio sekaligus dapat menarik minat bukan sahaja pelancong asing malah penduduk tempatan untuk melancong di tempat-tempat menarik di negara kita.

Di saluran ERA 'jingle" Zoom Malaysia! dapat didengar pada slot 6-10 pagi dan 4 petang-8 malam.

"Paknil ingin menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melancong ke dalam negara. Bertepatan dengan kempen Zoom Malaysia! Kita bersama menikmati keindahan tempat-tempat menarik dalam negara kita. Percayalah di negara kita sendiri ada banyak lagi tempat yang lebih menarik berbanding negara lain untuk dilawati. Kempen ini sangat praktikal selain kita dapat mengangkat keindahan di negara sendiri dan percutian dalam negara lebih menjimatkan"


Hai semua,

Ingat lagi tak pada acara lelong amal kat Sogo, Kuala Lumpur aritu ada sebuah keluarga telah membida Paknil dengan harga RM370 untuk datang makan malam ke rumah mereka.

Pada 14 Mac yang lalu, Paknil telah membuat kunjungan ke rumah keluarga En.Azizi dan Puan Raja Norziha di Rawang. Tepat jam 8.30 malam rombongan Paknil dan geng Skuad ERA Avanza pun tiba. Sambutannya memang agak meriah dan lagak kami bagai pertembungan 2 buah keluarga, terus meriah keadaan rumah mereka.

Seperti biasa kami beramah mesra dengan seluruh keluarga En. Azizi, walaupun anak-anak buah beliau yang ramai tu malu-malu kucing pada mulanya hahaha...sorang2 muka macam terkejut! Tapi biasala budak kecik diorang punya maintain tu tak lama. Pastu dah bising balik rumah heheheh..kelakar!

Lepas beramah mesra macam biasalah seperti yang dijanjikan, acara makan malam pun bermula. Aduuuhhhh....banyaknyer lauk yang disediakan...ermm tengah taip ni pun kecur air liur Paknil terkenang kembali akan kelazatan masakan aritu.

Favourite Paknil aritu adalah masakan Sotong Masak Lemak...Ini memang champion!!!! Terkenang2 Paknil. Ya...kalau Paknil mengidam nak makan Sotong Masak Lemak yang best...Paknil dah tahu kat mana nak carik hehehe. Selain itu ada hidangan Udang Galah yang sedap sangat...Besar sungguh udang2nya. Bayangkan saiz udang yang besar tu...tak yah makan dengan nasi pun boleh kenyang.Yummy!..Memang berbaloi datang makan malam selepas seharian penat pada sebelah siangnya kami semua ada acara PERTANDINGAN AKHIR DRAMA SEBABAK di MAJU JUNCTION.KL.


Selepas makan, kami pun sambung borak lagi, banyak yang kami ceritakan sampaikan Paknil rasa macam kena temuramah dengan wartawan pulak hahahah.

Tak berapa lama acara temuramah olok2 tu datang pula hidangan lain.Jeng...Jeng...Jeng....giliran makan LAKSA plak. Alamak ada kezutan pulak dari pihak tuan rumah.Tak bagi tahu ada LAKSA jugak, kalau tau Paknil makan nas sikit jer. Dek kerana LAKSA pun sedap jugak...ermmm licin jugak Paknil makan. Harap-harap lepas ni dah tak ada lagi. Dalam diam tu Paknil tengok ada gak kuih muih melayu dihidangkan. Ok la tu pencuci mulut agaknya.Lega dah habis hidangan!

Walaupun tengah menikmati hidangan kezutan. Namun sesi soal jawab pun bersambung lagi dari ruang tamu ke meja makan...Kelakar sugguh! Paknil pun apalagi JAWABLAH!!!!!

Selain dari aktiviti sesi soal jawab kami pun menonton Konsert AF7 ramai2 malam tu.

Arghhhhhh!!!! bukannya apa....ada makanan lagi telah dikeluarkan. Kali ini Kek pulak..pencuci mulut katanyer.Kek ni pun memang sedap sangat nanti Paknil nak gi beli la...Ha korang pun nak carik jugak..mana boleh bagitau..sebab RESEPI RAHSIA pesan Tuan Rumah kat Paknil heheh...carila kalau pandai. HAbislah diet ku...takper demi peminat tersayang Paknil akan makan jugak.

Paknil besama geng Skuad ERA Avanza!



Kat sini Paknil nak mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak tuan rumahyang melayan kami bagai tetapu kehormat mereka. Dengan layanan yang amat selesa sekali dan hidangan yang mewah... Paknil panjatkan doa agar keluarga ini akan terus kukuh ikatan kekeluargaan dan sentiasa harmoni dan dimurahkan rezeki. Terima Kasih di atas sumbangan anda atas tujuan amal ini sajer yang termampu Paknil balas.

Paknil mewakili pihak ERA mengucapkan jutaan terima Kasih ke atas keluarga En. Azizi da. isteri serta dua orang anak mereka yang comel. Pesan Paknil kepada anak perempuannya yang bakal menduduki peperiksaan UPSR semoga sukses dalam pelajaran ya.

Terima Kasih dari Paknil.




Akhirnya kami telah menemui pelakon berbakat yang dicungkil dari radio.

Melalui segmen DRAMA SEBABAK kami berjaya mencungkil bakat terpendam dari kalangan pendengar ERA. Terima Kasih atas sokongan anda semua!

Seperti yang dijanjikan pada 14 Mac yang lalu, berlangsunglah acara yang dinanti-nanti. Di perkarangan MAJU JUNCTION menjadi saksi semua yang berada di situ tersenyum dan ketawa menyaksikan aksi setiap 10 peserta yang berjaya menempatkan diri dalam pusingan akhir. RM 30,000 menjadi taruhan. Bayangkan hanya dengan satu panggilan, nilai wang yang besar akan menjadi milik mereka.


Semua peserta kelihatan resah semasa dibelakang pentas, sampaikan ada yang tak mampu tersenyum sebelum nama mereka dipanggil ke pentas. Nervous la tu! Nak pulak dengan kehadiran 3 orang juri jemputan yang mengadili kehebatan mereka iaitu Norman KRU, Saiful Apek dan Fasha Sandha.

Seperti yang telah diuar-uarkan pemenang akan diambil berlakon dalam filem terbitan KRU STUDIOS akan datang. Wow! Paknil pun dah lama berkawan dengan KRU baru beberapa tahun lepas dapat berlakon dalam filem terbitan KRU.

Macam ni la para peserta bertanding. Mereka tidak boleh bersemuka dengan Din Beramboi sebab melalui panggilan telefon pun mereka berlakon hanya bayangkan sahaja tanpa kehadiran Din Beramboi. Itulah cabrannya.


Selain dari persembahan peserta pada pada petang itu, acara diserikan dengan persembahan lagu paling top di radio ERA ala lagu SATU ERA la yang ala2 UMBRELLA tu.

Artis lain adalah seperti Dina, Reshmonu, Sixth Sense, Mila dan Bunkface.

Walaupun cuaca begitu menyokong kami pada awal petang dan namun hujan pada penghujung acara tersebut. Terima kasih pada semua yang hadir apatah lagi yang sanggup berlenjun demi memeriahkan lagi PERTANDINGAN AKHIR DRAMA SEBABAK. Caaya lah.

Akhirnya suatu sejarah telah tercipta di mana peserta paling akhir telah menjadi pemenang utama dan membawa pulang RM 30,000. Tahniah diucapkan kepada Faiz yang berjaya mengalahkan peserta lain. Peserta favourite menerusi rakaman yang diputarkan di radio iaitu Masjudi hanya berjaya memenangi tempat ke 2 dan membawa pulang RM10,000.

Saat mendebarkan buat Faiz kerana dipotong 25 markah kerana menggunakan "props" tanpa kebenaran.Namun setelah ditolah markah yang diperolehi masih tinggi dan beliau layak begelar juara DRAMA SEBABAK.


Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa memberi sokongan dan semoga DRAMA sEBABAK Ddapat menceriakan pagi anda.





Hi Semua...untuk pengetahuan semua pada 12 Mac yang lau merupakan HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA. Bersempena dengan sambutan hari yang penuh bermakna tersebut Paknil dan juga rakan penyampai dari semua saluran radio AMP ( ERA, SINAR, MIX, HITZ, THR GEGAR, X FM) telah berganding bahu bagi menjalankan aktiviti amal bagi mengumpul wang sumbangan untuk NATIONAL KIDNEY FOUNDATION (NKF) .

Paknil bersama penyampai lain berada di Hospital Serdang sempena sambutan tersebut untuk menjual 'MUG' yang tertera gambar Paknil dan penyampai2 lain. Cutesangat, kalau nak tau sebab semua wajah penyampai telah di 'cartoon' kan.


Demi kerja amal, Paknil tidak membenarkan peminat bergambar dengan sewenang-wenangnya hahahha, Bagi yang ingin bergambar dengan Paknil mereka perlu membayar RM20 dan akan dberikan mug secara percuma.

Semoga usaha kecil kami dapatlah membantu pesakit2 buah pinggang menjalani rawatan susulan penyakit ini. Selain dari kami terdapat beberapa 'booth' yang mempromosikan kempen keselamatan buah pinggan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit ini.

Terima Kasih kepada semua individu yang memberikan sumbangan ikhlas. Sumbangan anda semua amat dihargai.



Assalamualaikum semua... apa khabar. Rindunya kat korang kat sini. Takper jangan risau, rindu anda semua akan terubat dengan cerita terbaru ini.

Hari ini (13 Feb 2009), hari terakhir untuk pertandingan Drama Sebabak kat ERA. Esoklah segala persoalan bakal terjawab. Paknil pun sama nervous tak sabar nak tengok semua peserta beradu kehebatan berlakon bagi merebut wang besar...wang besar.....Wow!

MARI KITA LIHAT SAPER YANG PANDAI JAWAB SEMUA SOALAN.


Sepanjang minggu ini dan minggu lepas Paknl berkesempatan ikut serta dengan aktiviti SKUAD ERA AVANZA. Dapatlah Paknil berjumpa dengan pendengar setia ERA. TQ..TQ..TQ di atas sokongan anda semua. Selain itu yang bestnya Paknil juga pegi buat 'SpotCheck" di beberapa lokasi. Kami dari team ERA terus serang jer kereta yang dengar ERA akan di beri CD EKSKLUSIF KOMPILASI DRAMA SEBABAK dan T-Shirt EKSKLUSIF ERA. Ada gambar muka Aznil dan Din Beramboi lagi. Memang best sangat aktiviti macam ni. Teringat masa zaman Paknil buat segmen Kantoi dalam Macam-Macam Aznil. Rindunya nak buat Macam-Macam Aznil. Insyallah rakaman rancangan tersebut akan diadakan tak lama lagi.

yEAH!! ABG NI DENGAR ERA

EXCITED TAK TERKATA KAKAK TU BILA KAMI KETUK CERMIN TINGKAP KERETA MEREKA.

EXCITED PART 2!


Ada banyak lagi cerita terbaru akan menyusul tak lama lagi. Paknil akan bagi pembayang jer untuk cerita akan datang::

Kunjungan Paknil untuk makan malam ke rumah pendengar ERA. Pendengar setia ini telah berjaya membida Paknil dengan harga paling tinggi semasa acara amal di Sogo hari tu.

Tunggu sajer cerita akan datang..

Bye




RANCANGAN Aznil Riuhkan Pagi ERA Bersama Din Beramboi kelolaan dua penyampai hebat ini dilihat berjaya menaikkan kembali populariti segmen pagi di radio ERA.


SEPANJANG dua minggu, bermula 2 hingga 13 Mac, radio ERA melalui segmen Aznil Riuhkan Pagi ERA Bersama Din Beramboi menganjurkan pertandingan Drama Sebabak Edisi Khas.

Menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM50,000, pertandingan dengan kerjasama Pati Ayam Brand's itu bertujuan untuk menceriakan lagi suasana pagi di kalangan pendengar ERA.

Menariknya, juara bukan sahaja akan membawa pulang wang tunai malah berpeluang muncul dalam filem terbitan KRU Films yang bakal memulakan penggambaran pada pertengahan tahun ini.

Dengan cara menghubungi talian 03-9543 3355 apabila mendengar isyarat penyertaan keudara, pemanggil terpilih kemudiannya dikehendaki berlakon bersama Din Beramboi dalam sketsa ala sebuah drama radio.

Bagi pendengar yang ingin mengambil bahagian tetapi tidak berjaya membuat panggilan ke konti, mereka masih boleh menelefon talian tersebut dari pukul 10 pagi hingga 8 malam untuk uji bakat.

Jika bertuah, Aznil Nawawi dan Din Beramboi akan menghubungi semula mereka pada pagi berikutnya untuk menjadi peserta.

Peserta yang layak untuk menjadi pemenang harian akan ditentukan oleh pendengar ERA lain menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Seramai 10 orang pemenang harian pula akan ke peringkat akhir Drama Sebabak Edisi Khas ERA yang bakal diadakan di Maju Junction, Kuala Lumpur pada 14 Mac ini.

Mereka dikehendaki membuat persembahan drama sebabak secara langsung di hadapan juri profesional yang terdiri daripada Norman KRU dan Saiful Apek.

Menurut Aznil, Drama Sebabak Edisi Khas ERA dilihat mendapat sambutan menggalakkan dan banyak komen-komen positif diterima daripada pendengar yang menyukai program terbabit.

Jelasnya, meski sekadar lakonan ringkas, ia juga sebagai platform kepada pendengar ERA menceburi dunia lakonan selepas dijanjikan muncul dalam filem terbitan KRU Films nanti.

"Mana tahu, jika ada rezeki pemenang Drama Sebabak Edisi Khas ERA akan muncul sebagai pelakon popular satu hari nanti,'' katanya ketika melawat pejabat Utusan Malaysia dan Kosmo bersama Din Beramboi dan Skuad ERA Avanza baru-baru ini.

Ujarnya, sebagai kenang-kenangan, Drama Sebabak Edisi Khas ERA telah pun diterbitkan dalam bentuk cakera padat dengan syarikat rakaman Warner Music bertindak sebagai pengedar.

Kata Aznil, ia memuatkan 10 buah lagu serta himpunan sketsa terpilih dan akan dipasarkan pada 10 Mac ini dengan harga RM25.90. "Idea menerbitkan himpunan sketsa ini muncul daripada Pengurus Rancangan ERA, Nazri Noran,'' jelasnya.

Mesej di sebalik Drama Sebabak

Menjawab soalan mengenai mesej yang hendak disampaikan melalui penganjuran Drama Sebabak Edisi Khas ERA, Aznil memberitahu, ia tidaklah mempunyai mesej yang penting.

Sebaliknya, ia diperkenalkan untuk membangkitkan mood ceria di kalangan pendengar pada waktu pagi.

"Hanya tiga minit sahaja program itu dibawa kepada pendengar. Itulah waktu untuk kita ceria dan lupakan segala masalah dengan ketawa.

"Kalau hendak bawa isu berat pada waktu pagi, itu kami boleh lakukan namun biarlah pendengar dapat sentuhan lain daripada yang lain melalui Drama Sebabak itu,'' ujarnya.

Jelasnya, selain Drama Sebabak Edisi Khas ERA, segmen pagi lain turut mendapat sambutan baik daripada pendengar seperti Pakaian, Warung Pagi dan Jom Debat.

Ditanya mengenai kemunculannya bersama Din Beramboi dilihat sebagai penyelamat kepada radio ERA daripada segi rating, Aznil berkata : "Syukur kerana rating kami masih tertinggi dan segmen pagi pun mencatat rating teratas.

"Kalau hendak kata kami sebagai penyelamat, bagi saya, ia boleh dipertikaikan. Kami bukanlah penyelamat."

Tambah Aznil, kemunculan mereka hanyalah untuk memeriah dan menceriakan waktu pagi kepada pendengar ERA.


SERASI... Aznil (kiri) bersama pasangan Riuh Pagi ERA, Din Beramboi.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

SETELAH hampir dua bulan berkolaborasi di konti Riuh Pagi ERA, kini pasangan penyampai Aznil Nawawi dan Din Beramboi kian selesa mengendalikan rancangan kelolaan mereka.

Ke udara setiap hari selama empat jam bermula pukul 6 hingga 10 pagi, ternyata pasangan ini tidak punya masalah untuk digandingkan bersama apatah lagi, kedua-duanya sudah saling mengenali sejak lebih 15 tahun lalu.

"Kerja dengan Din memang senang. Seperti Saiful Apek, dia juga mula bertapak daripada syarikat saya dahulu.

"Saya membuat pembahagian kerja. Tugas Din ialah buat lawak sementara saya lebih kepada mengawal keadaan dan selitkan fakta-fakta," ujar Aznil ketika ditemui pada acara amal Orang Iklan ERA di Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai jenaka yang disampaikan oleh Din Beramboi, pengacara nombor satu negara itu menyifatkan lawak yang sering digunakan oleh rakan sekontinya itu adalah lawak di luar kotak.

"Maksudnya, banyak lawak-lawak dia yang memeranjatkan saya, lawak-lawak dia banyak yang kita tak terfikir sebab itu saya mahu bergandingan dengannya.

"Bagi saya, jika saya sendiri boleh gelak dan suka dengan lawak-lawak dia, apa lagi kepada para pendengar Era FM sendiri," katanya.

Sementara itu, Din Beramboi ketika ditemui pada acara yang sama memberitahu, memulakan tugas sebagai penyampai Era FM awal Januari lalu umpama 'come back' setelah hampir enam tahun 'bersara' sebagai penyampai radio.

"Selepas menamatkan tugas di konti THR lebih lima tahun dahulu, saya banyak buat kerja untuk televisyen.

"Bukan saya ada masalah dengan mana-mana stesen radio, cuma corak penyampaian radio ketika zaman saya dengan sekarang agak berbeza.

"Bezanya dari segi kandungan penyampaian dan juga teknikal. Zaman sekarang juga ialah zaman orang mengkritik sebab itu keterangan, gaya bahasa dan tahap penyampaian itu penting, semua itu saya perlu 'refresh' semula," katanya.

Tidak sampai dua bulan kembali bertugas sebagai penyampai radio, Din Beramboi telah dihujani suara-suara nakal yang menyatakan lawaknya merapu.

Menjelaskan hal tersebut, katanya: "Lawak bagi saya ada yang merapu dan ada juga yang tidak. Ia terpulang kepada pendengar untuk menilainya.

"Bagi saya kritikan tersebut saya anggap sebagai sesuatu yang positif. Apabila orang kata merapu, kita tidak boleh rasa nak melenting tetapi sebaliknya cuba perbaiki sebaik mungkin," kata Din lagi.

Sebagai penyampai segmen pagi, sudah tentu banyak tekanan yang dihadapi oleh mereka.

Kata orang kekuatan sesebuah stesen radio itu bukan sahaja terletak kepada kebolehan penyampai semata-mata tetapi juga slot serta segmen-segmen yang dikendalikan.

Malah, tanggungjawab yang dipikul mereka berganda apabila terpaksa bersaing dengan slot serta segmen pagi daripada pesaing terdekat, Hot FM dan Sinar FM yang tidak kurang hebatnya.

Tidak mahu meletakkan isu saingan dalam menjalani tugas di konti, kata Aznil: "Saya sebenarnya tidak kisah pun tentang saingan. Bagi saya biarlah orang-orang di luar sana yang membuat pilihan untuk mendengar yang mana satu.

"Tidak perlulah kita sibuk kejar rating sebab bagi saya yang lebih utama kita kejar ialah minat para pendengar terlebih dahulu.

"Sebab itu saya rasa Riuh Pagi mempunyai segmen-segmen yang lain daripada lain antaranya pakaian terbaik, teka bunyi dan drama sebabak.

"Insya-Allah, bermula 2 Mac ini kita akan ada segmen baru iaitu Warung Pagi," jelas Aznil mengenai rombakan program di Era.

Kumpul lebih RM12,000

Dalam usaha membawa para penyampai dan pendengar setia stesen nombor satu negara itu kepada aktiviti bercorak kemasyarakatan, pada 10 hingga 19 Februari lalu, Era FM telah melancarkan Kempen Cabaran Aznil dan Din Beramboi.

Sepanjang berlangsungnya kempen tersebut, para pendengar yang mewakili penyampai pilihan mereka dikehendaki beradu antara satu sama lain bagi mengutip mata terkumpul.

Antaranya termasuklah berbalas pantun, menguji pengetahuan peribahasa, kecekapan mengeja perkataan bahasa Inggeris serta permainan Jangan Lupa Lirik versi radio.

Keputusannya, Aznil berjaya memperoleh 269 undian mengalahkan Din Beramboi yang mengumpul 256 undian.

Kemuncaknya, pada Sabtu lalu (21 Februari), kedua-dua penyampai mengotakan janji mereka menjalani aktiviti amal bagi mengumpul dana untuk disalurkan ke Rumah Nur Salam, sebuah pusat perlindungan dan aktiviti untuk kanak-kanak terbiar di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Bertempat di hadapan pintu masuk pusat membeli belah Sogo, kedua-dua penyampai memenuhi masa selama enam jam (12 tengah hari hingga 6 petang) bersama para peminat serta pendengar setia Era FM untuk sama-sama beramal mengumpul dana untuk badan kebajikan tersebut.

Menurut Aznil, idea aktiviti amal itu dicetuskan oleh Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran. Acara itu merupakan julung kalinya diadakan. Malah, katanya aktiviti amal tersebut adalah sebahagian daripada perancangan Era FM untuk tahun 2009.

"Untuk aktiviti ini, anggota badan saya 'dijual' untuk diiklankan. Cabaran Din ialah mencari penderma dengan menyanyi dan saya pula mengambil gambar dengan sesiapa sahaja dengan bayaran RM10.

"Selain itu, saya juga menawarkan diri untuk makan malam bersama keluarga yang berjaya membuat bidaan paling tinggi.

"Kerja amal adalah aktiviti yang paling dekat dengan pendengar. Era merancang untuk menjalankan kerja-kerja sebegini secara berterusan dan aktiviti ini adalah sebagai permulaan," terang personaliti itu lagi.

Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul pada hari tersebut ialah RM12,394.60 dan cek sumbangan disampaikan oleh Nazri kepada Pengarah Eksekutif Rumah Nur Salam, Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff.

Jumlah tersebut merangkumi bidaan tertinggi, RM370 tawaran makan malam bersama Aznil oleh keluarga Raja Norziha dan anaknya Puteri Nabilah dari Taman Tun Teja, Rawang, Selangor serta lelongan RM310 sut Astro yang dipakai oleh Aznil sepanjang acara tersebut.

Turut hadir memberikan sokongan ialah para penyampai Era FM iaitu Adi, Ray, Nana, Cham, Burn dan Reza.